Kelapan Belas: Perlahan, Sampai Tujuan

Hai semua.

Tatkala insan sekeliling mula mengorak langkah ke hadapan, kadang aku rasa masih statik di tempat. Macam ketinggalan di belakang. Tapi sungguhkah itu benar berlaku?

Katanya. Aku bukan anak panah yang dilepas pasti ke sasaran. Mungkin seorang yang lebih suka hidup perlahan. Bagai seekor siput tua yang membawa rumah di belakangnya, yang berhenti sejenak setiap kali angin bertanya sopan, “Kau mahu ke mana?” 

Aku tidak pernah ingin terburu, bukan kerana tidak punya arah. Tetapi kerana aku pernah laju. Sehingga membawaku hilang arah ekoran terlalu banyak tanda. Sewaktu banyak suara yang memanggil aku, aku jadi keliru, mengenal diriku yang sebenarnya.

Menjadi perlahan itu, padaku, adalah suatu bentuk perlawanan. Perjalanan panjang dalam dunia yang memuja laju tapi melupakan rasa. Terhadap kehidupan yang menilai pencapaian, bukan dengan tenang yang kita perjuangkan saban malam. Aku tidak ingin menang tanpa tahu apa yang aku harus perjuangkan. Aku mahu berjalan cukup perlahan untuk mengingati bau langit selepas hujan, untuk membaca puisi pada dedaunan kering, untuk berbual diam-diam dengan luka yang hampir (?) sembuh.

Saat pundakku ditepuk untuk menyedarkanku, “Kau tidak takut tertinggal?” Aku sedang mencerna perihal ini dengan sebaik-baiknya. Siapa yang ku kejar? Dan sejak bila hidup ini perlumbaan yang semua orang tahu garis penamatnya? Aku tidak mahu sampai dulu, kalau itu bermakna aku akan tiba lompong. Jikaku terpaksa membuang siapa aku di tengah jalan semata-mata untuk cepat tiba, itu bukan kemenangan, itu kehilangan. Perlumbaan yang membuang siapa diri aku yang sebenarnya.

Aku tahu, langkah ini perlahan. Tapi perlahan tidak bermakna tiada pergerakan. Ia bermakna aku sedar setiap tapak yang ku orak. Hadir dalam setiap hentakan kaki, wujud dalam setiap nafas yang diselami. Dan pada suatu hari nanti, kalau aku benar-benar sampai, sama ada atau tiada sorakan atau kegembiraan insan lain, aku akan tahu, bahawa aku sampai sebagai diri aku sendiri. Tidak menjadi siapa-siapa yang orang harapkan, hanya aku yang perlahan-lahan belajar tentang kehidupan, yang akhirnya, perlahan-lahan tiba. Sampai tujuan, menuju Tuhan.

Comments

Popular posts from this blog

Ketujuh Belas: Kembali Lebih Kuat, Semua.

FLY HIGH EDUCATION CENTRE PILIHAN NO.1 PELAJAR UPKK, PSRA & PKSK