Keenam : Cita-cita (CERTOT- CERITA KONTOT)
Seawal usia 5 tahun, impian terbesar kita adalah ingin memperoleh mainan. Jika tidak diberikan mainan yang kita mahukan, kita akan menghentak-hentak kaki sambil merengek kesedihan.
Impian kita pun berubah apabila menginjak sekolah rendah, kita dimomokkan dengan impian untuk menjadi angkasawan seperti @drsheikhmuszaphar & doktor seperti @dramalinabakri. Sebagai individu berjiwa polos dan naif, dengan impian sebesar itu, kita optimis mampu digapai. Sedangkan realitinya angkasawan Malaysia baru seorang, namun kerana kanak-kanak penuh dengan energi optimis, disemat rapi di dalam hati. Ya, saya ingin jadi angkasawan.
Menginjak usia belasan, impian kita semakin gila-gila. Kerana pada usia ini kita dalam proses mencari identiti, maka kita akan berimpikan kehidupan selaras dengan identiti yang kita ingin gapai. Jika kita mahu terbilang dengan menjadi gamers, maka kita akan sentiasa mengelompokkan diri dengan kehidupan bermain games, menonton cara main pemain professional seperti @todakmlbb ataupun @geekfammy.
Setelah semua hal ini ditempuh, kita pun berfikir sedalam-dalamnya. Selayaknya seperti seorang hamba yang berTuhan, kita pun terfikir sejenak. Jauh dalam lubuk hati, sepertinya ada yang kurang dalam apa yang dikejar dan diimpikan selama ini.
Sambil pusing berfikir mengenai cita-cita tersebut, tiba-tiba kedengaran suara Muazzin merdu melaungkan azan Isyak. Jelas berkumandang di Masjid berhampiran rumah. Hati tak lama, terus terdetik seraya bermonolog, Oh, Hidup BerTuhan rupanya. Allahuakbar!
Comments
Post a Comment