Kesepuluh: Pelajar Sekolah Agama, Apa Cerita?

    Hi semua! Assalamualaikum. Lama rasanya tidak menulis di blog ini. Almaklumlah, sibuklah dengan macam-macam hal, baik hal duniawi mahupun ukhrawi, hal penting mahupun tidak penting. Jadi niat mahu menulis di sini, asyik terbantut, ditambah lagi dengan segala macam alasan semacam, "Nanti-nantilah menulis tu, enjoy dulu kehidupan." Cis sampai ke sudah entri baru tidak ditulis.

    Ok bismillah. Sempena ramadan ni, aku mahu tulis satu entri luahan hati. Ceh. Bukan entri luahan hati bernuansa romansa ya, sekadar apa yang aku dan teman-teman rasa, mungkin relevan, mungkin tidak dengan kamu, tapi kalau kamu rajin, kamu bacalah entri ini sampai habis ya. Mungkin yang jernih nanti boleh diambil, yang keruh nanti ditinggal saja. Jangan sibuk-sibuk mahu jaja dan cerita dengan warga konon begitu-begini. Haip! 

    5 tahun sekolah agama. Siang, lelaki bersongkok, perempuan bertudung labuh. Malam, lelaki berkopiah, berbaju melayu, berkurta atau berjubah. Perempuan berbaju kurung, bertudung labuh. Begitulah sehari-hari selagi tidak menginjak keluar dari pagar sekolah.

    Daripada luaran, memang nampak islamik, songkok dan kopiah, tudung labuh dan baju kurung. Jadi orang selalu pandang tinggi dengan pelajar begini. Atas alasan, daripada luaran, beragama. 

    Tapi benda begini, tidaklah seindah yang disangka. Aku selalu dengar bebelan teman-temanku dulu... Yang orang selalu ada ekspektasi tinggi dengan pelajar sekolah agama. Oh, kau budak sekolah agama, mesti kau alim kan dulu. Tudung labuh etc. 

    Segala terma al-mathurat, solat berjemaah, al-mulk dan tazkirah disebut. Jadi pelajar sekolah agama pun selalu risau jika mereka tidak memenuhi ekspektasi masyarakat. Ada yang rebel, langgar semua, hasil daripada stres dengan pandangan masyarakat, atau ada faktor penolak yang lain, hedonisme, pengaruh globalisasi atau malas mahu kisah apa orang kata, aku sudah keluar dari pagar sekolah, suka hati aku la mahu buat apa. 

    Marilah kita buat satu pertimbangan yang adil, pelajar sekolah agama, baik masih belajar atau sudah alumni, bukanlah malaikat. Mereka, (termasuk saya) tidaklah sempurna. Risau sebenarnya jika suatu hari, aib terbuka, masyarakat mencerca, yang dihina termasuklah agama. Sedangkan Islam itu ad-din, cara hidup yang menyeluruh. Islam, apa saja yang tidak lengkap, memandu manusia secara total. Sebelum makan, sebelum tidur hinggalah sebelum masuk tandas, ada doa dan adabnya. Sebegitu syumulnya Islam.

    Jadi, sebagai pelajar sekolah agama? Apa mekanisme? Pedulikan atau tidak kata orang? Jawapan mudah, terpulang. Kata-kata orang ni, kalau kita terlalu dengar pun, kita akan berdepan masalah kerana sibuk penuhkan ekspektasi mereka. Ada yang cakap A, kita ikut. Ada yang pesan B, kita ikut. Bila dua hal ini kontradik antara satu sama lain, kita geleng kepala, pening. Kalau kita tidak dengar langsung pun, kita akan masalah juga. Sebab hidup ini perlukan teguran, untuk jadi pedoman agar menjadi insan yang berteladan. Tolak tepi la kita jadi insan yang mampu kuasai ilmu-ilmu agama mendalam macam ustaz-ustaz yang alim dan faqih dalam agama, tapi jadi muslim yang baik,  jaga habluminallah (hubungan dengan allah) dan habluminannas (hubungan dengan manusia) pun sudah cukup baik sebenarnya. 

    Akhirnya, pelajar sekolah agama atau tidak. Itu dari kita saja untuk amalkan agama dalam kehidupan. Ada bukan lulusan dari sekolah agama, tapi akhlaknya baik, sebab memang dia ada suasana beragama dalam kehidupan dan pastinya benda itu tidak dia rasai dalam biah sekolah agama. Tapi pelajar sekolah agama, ada dan pernah rasa bagaimana manisnya suasana itu. Jadi, pesan seorang temanku, kalau pun tidak dapat buat semua macam dulu (al-mulk, al-mathurat, solat jemaah etc), jangan tinggal semua. 

    5 tahun duduk di bawah bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, mustahil tiada satu pun hal yang melekat dalam diri, hasil pertarbiyahan dari sanubari para murabbi. Insyallah. Moga Allah kurniakan kita syurga-Nya, aamiin.


Penulisan Tambahan: Sedar diri, Berdamai dengan diri sendiri. 

    Sidang pembaca sekalian, pada saat kamu sedar siapa yang menulis ini. Penulisnya bukanlah seorang yang sempurna serba-serbi. Segala pesanan yang dilontarkan, adalah dari sudut pandang penulis sahaja. Namun secara peribadi, penulis bukanlah insan maksum tanpa sebarang dosa, penulis masih banyak cacat-cela, masih ada lemah di mana-mana. 

    Maka, marilah kita bersama-sama jadi penyemak dan penyeimbang (check and balance) kepada diri masing-masing dan orang lain. Tidak sempurna diri kita tanpa sebarang teguran daripada orang lain, kerana kita lumrahnya manusia, kadang terkhilaf, sedang kita insan mukallaf yang diamanah sebagai khalifah.

    Akhirul kalam, daripada kita saja untuk ambil yang mana, yang manis seperti madu atau yang pahit seperti hempedu. Dan jangan pernah lupa untuk sentiasa meminta Allah agar memandu kita ke jalan yang lurus itu.

Salam Sayang, 24 Ramadan 1442H

Comments

  1. Alhamdulillah, nasihat yg telus dn bermanfaat. Teruskan usaha anda dlm menulis. Tanam azam pula buat buku motivasi sendiri. Aamiin
    #MrUnknown

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih atas komentarnya. Semoga urusan kita semua dipermudahkan Allah SWT. Aamiin.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ketujuh Belas: Kembali Lebih Kuat, Semua.

Kelapan Belas: Perlahan, Sampai Tujuan

FLY HIGH EDUCATION CENTRE PILIHAN NO.1 PELAJAR UPKK, PSRA & PKSK