Kedua Belas: Debat
Hi semua. Assalamualaikum. Lama tidak mencoret. Banyak benda terjadi dalam hidup. Jatuh bangkit lagi. Terduduk berdiri lagi. Sampai sekarang ini, aku tidak tahu apa keadaan aku sekarang, berdiri ka meniarap ka berlari ka berjoging ka. Yang pastinya aku sedang duduk sambil menghadap skrin, secara zahirnya.
Sekarang ini, 24 Ogos 2021. Sedang berlangsungnya Bahas Ala Parlimen Negeri Sabah. Satu pertandingan yang tidak lagi asing buat para orator di Negeri di Bawah Bayu ini. Ketika debat inilah, segala tokoh nilam, pemidato & pelbagai jenis orang yang berkecimpung dalam dunia orator akan kau jumpa.
Cuma apa yang menariknya pertandingan kali ini adalah ianya dilaksanakan secara online. Benda ini sebenarnya benda baharu dalam bahas ala parlimen. Sebab sebelum ini, kita tidak pernah sangka kita akan berdebat menggunakan skrin semata. Apa yang lawan & juri nampak, hanya muka & suara kita. Hm.
Pengalaman aku dalam Bahas Ala Parlimen boleh dikatakan naik turun. Pengalamannya singkat, tapi cukup bermakna dalam mencorakkan aku pada hari ini. Tapi benar. Aku yang dulu bukanlah yang sekarang. Cuma apa yang boleh dibawa dari zaman dahulu, yang boleh jadi aset, kita rangkul sekali pada hari ini. Ceh, macam la zaman dahulu tu jauh betul, sebenarnya selang beberapa tahun ke belakang sahaja.
Hari ini aku mahu cerita. Apa sebenarnya yang menarik tentang debat atau bahas ini. Orang yang tidak familiar dengan debat & tidak faham struktur debat, akan hukum debat ini sebagai pertengkaran antara dua pihak tanpa sebarang asas yang jelas. Apa yang mereka nampak secara zahirnya, mungkin nampak bertikam lidah dan bergaduh, jadi mereka di tengah-tengah sebagai penonton, excited untuk turut serta dan bersorak, walaupun sebenarnya tidak faham apa yang ingin dikatakan oleh orang yang berdebat di hadapan mereka.
Sebenarnya, konsep debat yang baik jauh berkualiti daripada itu. Dalam mewujudkan suatu perbahasan usul yang baik, setiap pendebat ada formaliti dan tugas masing-masing. Ada yang akan beri definisi, ada yang akan membidas, ada yang akan menggulung dan sebagainya. Meski berbeza daripada segi tugas, tapi setiap pendebat yang baik faham akan satu perkara, debat bukanlah tentang pergaduhan, tapi situasi pertembungan dua pihak yang berbeza pendapat, dengan cara paling terhormat.
Aku pernah tengok pendebat yang emosi ketika berbahas. End up team dia kalah. Mungkin ada faktor lain yang menyebabkan dia kalah. Mungkin faktor pendefinisian, bidasan, pembawaan salah dan tidak tepat untuk jawab tuntutan perdebatan. Tapi pada akhirnya, aspek adab dan tatasusila sentiasa jadi faktor tambahan dan faktor terbesar yang membolehkan seorang pendebat menyampaikan apa yang ingin dia sampaikan pada kadar yang terbaik.
Apa yang menariknya debat berbanding aktiviti pengucapan awam yang lain? Perbandingan ini bukan tujuan merendahkan aktiviti pengucapan awam yang lain, cuma aku ingin tunjukkan sisi kelebihan yang ada pada debat sehingga pada akhirnya melahirkan para pembicara yang kritis mindanya.
Pertama, dalam debat, tidak ada satu kemungkinan jelas yang akan terjadi. Maksudnya di sini, apabila sidang berlangsung, kita tidak akan tahu apa yang lawan akan bawa kecuali apabila dia mula beritahu kita. Sebelum sidang berlangsung, kita hanya boleh andaikan apa yang mereka akan katakan, tapi itu semua tidak menjamin itulah yang mereka akan katakan. Contoh usul: Telefon bimbit wajar dibawa ke sekolah. Sebagai kerajaan mungkin, kita akan cakap telefon bimbit wajar dibawa ke sekolah sebab ada kelebihan jika kita bawa telefon bimbit. Tapi kita sebagai kerajaan, tidak akan tahu pembangkang akan bawa apa, adakah mereka akan cakap telefon bimbit kurang wajar dibawa ke sekolah? Atau telefon bimbit tidak wajar dibawa ke sekolah? Atau telefon bimbit belum wajar dibawa ke sekolah? Penggunaan kurang, tidak ataupun belum ini, akan mencorakkan hala tuju perdebatan sama ada pada akhirnya adakah kes yang dibincangkan daripada kedua-dua pihak akan bertembung atau tidak.
Jika tidak bertembung, maka akan terjadikan kes ayam bercakap dengan itik. Ayam cuba explain, itik tidak faham. Itik cuba cakap, ayam pun tidak faham. Oleh hal yang demikian, sedikit perincian ini membuktikan bahawa debat ini bukan satu medan perdebatan yang sia-sia. Lebih-lebih lagi jika ianya menjadi sidang yang berkualiti. Yang ini akan terjadi apabila setiap pendebat laksanakan tugas dengan baik, berlakunya pertembungan kes dengan baik & akhirnya menyukarkan juri membuat keputusan. Akhirnya berlakulah pembahagian juri tipis seperti 4-3,3-2 @ 2-1. Kesemua pembahagian juri tipis seperti ini menunjukkan berlakunya perdebatan yang baik antara pihak kerajaan dan pembangkang.
Pendek kata, setiap pendebat yang baik tidak lahir dalam masa sehari dua hari sahaja. Tapi perlu proses bertahun-tahun membentuknya. Tidak ada pendebat yang menang sentiasa, tidak ada pendebat yang kalah sentiasa dan aku rasa, semangat itulah yang membawa aku hingga ke hari ini.
Salam cakna minda. Salam perdebatan untuk semua. Assalamualaikum.
Comments
Post a Comment