Keempat Belas: Sepi
Rasa-rasanya, dalam kehidupan seorang introvert, sepi adalah keramaian. Benar, ramai juga boleh bererti sepi.
Tapi hal ini tidak sewajarnya kita terima bulat-bulat. Sebab hakikat manusia adalah habluminannas. Yakni berhubungan dan bermuamalah dengan mana-mana manusia yang lain. Dalam erti kata, hubungan yang terjalin adalah dalam makna positif, meskipun ada yang menganggap bahawa hubungan negatif juga merupakan salah satu nadi kehidupan kita. Benar, toxic relationship is real.
Berbalik kepada sudut pandang seorang introvert. Yang tidak punya ramai kawan, yang kadangkala hilang dalam kebisingan siang dan keheningan malam. Orang kata seorang introvert ialah kera sumbang. Menutup segala pintu pergaulan. Malas bertoleransi dengan drama serta perilaku individu di sekelilingnya. Entah, mungkin jua benar sudut pandang mereka. Kerana mereka tidak memakai kasut lalu menghuyung-hayangkan kaki si introvert untuk bergerak ke destinasi yang dia ingin pergi. Setidaknya bagi dia, dua destinasi ternyaman ialah dapur atau tandas.
Sejujurnya banyak perkara bermain di fikiran. Entah itu ambiguiti atau pasti. Terlalu dibawa lamun nanti diisi bisikan syaitan untuk menyuruh melakukan perihal sumbang. Terlalu dipijak pada realiti kadangkala berkoma pada sepi. Benar. Introvert sedang benar-benar damai dengan diri sendiri. Dan mungkin seorang introvert bukanlah seorang pendiam totok.
Tanpa individu sekeliling yang boleh menjadi tulang belakang dan nadi sendi pada diri seorang introvert untuk terus mengingatkan erti hidup, barangkali seorang introvert sudah lama sendiri dalam kesepian. Tertinggal jauh di belakang saat hembusan angin menderu kencang petanda bencana kian datang, mungkin?
Saat seorang introvert sedar, dia sedang berada dalam kehidupan realiti dan tidak lagi berpijak atas ilusi sendiri. Barangkali, saat itu dia mula menyedari, bahawa dia harus berjuang lagi sehingga nafasnya berhembus buat terakhir kali.
Semoga baik-baik sahaja, hendaknya.
Salam.
Comments
Post a Comment