Kelima Belas: Juang

 Salam Hari Ke 364. Hari Jumaat. Hari Berkah. Hari Mulia.

    Tiada pula yang menyangka hari ini air mata tumpah lagi. Sebagai seorang lelaki, kadang orang anggap jengkel bila kami mula menghargai perasaan kami sendiri. Seolah seorang lelaki lagaknya cuma perlu sasa dan perkasa selama. Al-maklumlah, pelindung kaum hawa.    

    Tapi jujur, sekeras-keras lelaki, ada sisi lembut dan fragile yang membuatkan lelaki terasa perlu melindungkan diri pada saat-saat tertentu. Entah daripada ancaman apapun. Sebab itu seorang lelaki kadang punya saat dimana dia harus sendiri. Meladeni perasaan diri. 

Cukup. 

 2022. Entah ini refleksi akhir atau separa akhir. Tapi sepanjang 363 hari ditakdir Ilahi hidup sehingga ke saat ini, ku simpulkan tahun ini sebagai tahun juang.

    Benar. Tahun ini ku tak meraih sebegitu banyak pencapaian yang boleh dibanggakan ramai orang. Penglibatan buat kali kedua dalam Syarahan, belum direzekikan mengulangi pencapaian lama sewaktu pertandingan sebelumnya. Debat, belum direzekikan masuk ke pentas akhir. Dan praktikum, belum direzekikan memperoleh pencapaian Cemerlang meskipun dicalonkan oleh guru pembimbing dan para pensyarah penyelia. Terima kasih Dr, terima kasih cikgu. 

    Seperenggan yang penuh cerita. Kecewa memang ada. Tapi takkanlah dibiar lama dalam atma. 


    Apapun, tahun ini adalah tahun perjuangan. Bagaimana tiga hal diatas mampu dilalui dengan baik berkat pertolongan Ilahi untuk terus memberi kekuatan dan ketabahan buat diri ini. Benar, kuat dan tabah serta percaya akan kebenaran telah membawaku sejauh ini. Alhamdulillah untuk semua hal.

 Dari awal tahun sehingga ke saat ini, banyak perjuangan yang telah dilalui. Mungkin dari sudut pandang orang kebanyakan, mereka hanya melihat yang bahagia sahaja. Kerana hal itulah yang dibenarkan diri untuk dipamer di media sosial. Bukan untuk menunjuk, tapi untuk membuktikan bahawa kita semua berhak bahagia. Walau dengan apapun caranya. Sisa perjuangannya, kita yang harus berusaha.

 Rasanya, kemana lagi arah tuju penulisan ini akan ku bawakan? Sebelum jari mengetik papan kekunci buat terakhir kali? Oh benar. Di samping mengapresiasi diri sendiri, ku ingin menyusun jari memohon ampun atas salah silap. Terlalu banyak rasanya salah yang telah dilaku oleh seorang kerdil ini.

 Perlakuan, perbuatan, perkataan atau apapun yang bersandar atas kesilapan dan kekhilafan adalah suatu pembuktian bahawa aku adalah seorang manusia yang punya cacat cela. Selalu cuba menerima apa adanya dengan merefleksi diri, bahawa aku boleh lebih baik lagi, di kemudian hari. Maaf ya semua.

 Apapun, terima kasih banyak semua. Sudi membaca sampai ke sini. Saat ku pergi nanti, hal inilah yang akan abadi, kata membawa nuansa, bahawa kita sebenarnya boleh bahagia, mengikuti cara kita, asal dengan redha Pencipta, Allah Azza Wajalla.


Salam sayang semua. 

Dari diri, yang merindui. 



Comments

Popular posts from this blog

Ketujuh Belas: Kembali Lebih Kuat, Semua.

Kelapan Belas: Perlahan, Sampai Tujuan

FLY HIGH EDUCATION CENTRE PILIHAN NO.1 PELAJAR UPKK, PSRA & PKSK