Keenam Belas: Lesu
Salam petang semua. Semoga semua sihat hendaknya. Aamiin
Rasanya Pencipta yang mengawal semesta telah mengaturkan semuanya buat kita. Entah itu bagaimana, tapi pastinya ia meninggalkan pengajaran dan teladan buat kita hadapi hidup seharian dengan lebih baik.
Tidak sangka baru mula minggu pertama sesi perkuliahan sudah banyak naik turun cubaan dan ujian yang dihadapi. Entah mungkin juga sebab ini baru minggu pertama, jadi semuanya terasa tiba-tiba. Tiba-tiba hidup menyewa, tiba-tiba kelas baharu, tiba-tiba gabung kelas dan tiba-tiba hal cinta-cintun yang dirasa akan tiba lambat lagi telah pun tiba dan perlu dihadapi. Maka benarlah, pada waktu apabila Pencipta katakan, KUN. Maka jadilah ia.
Sejujurnya aku ialah manusia yang paling suka mengelak daripada hidup dalam keadaan yang ramai orang. Bagi aku lebih sedikit manusia di sekelilingku, lebih sedikit drama, masalah dan kerenah orang lain yang perlu aku hadapi. Al-maklumlah, di samping pendiam, aku pun sebenarnya banyak drama. Jadi daripada aku sesakkan diri dengan melayani drama orang lain, lebih baik ku kecilkan circle dan fokus pada mereka yang sedia ada.
TAPI. Jangan silap faham. Ini bukanlah bererti aku ini kera sumbang totok. Tidak. Aku masih boleh berteman dan berkenalan dengan siapa pun. Cuma soal menjadi akrab dan karib pada mana-mana kenalan dan teman yang aku jumpa, saat itu aku berubah jadi sangat selektif. Ibarat mencari jodoh. Pilih yang benar-benar sekufu. Ceh.
Sebenarnya aku rasa kasihan dengan diri sendiri dan teman-teman baikku juga. Kasihan dengan diri sendiri sebab terlalu sensitif dan cepat benar terasa. Mungkin sebab aku terlalu lama hidup sendiri di rumah menyebabkan aku hanya tahu mengawal diri sendiri tanpa tahu perasaan orang lain.
Dan inilah juga sebab aku rasa kasihan dengan teman-teman baikku. Mereka terasa "sesak" dengan kehadiran dan dramaku. Terlalu banyak drama lagaknya sehingga masalah mereka yang sedia ada ditambah lagi dengan masalahku yang sepatutnya boleh ku kendalikan sendiri. Entahlah.
Itulah mungkin keadaan lesu yang menjadi topik entri kali ini. Lesu dengan harapan diri sendiri. Lesu dengan harapan orang lain pada kita. Sehingga aku terasa ingin menutup diri seutuhnya, tanpa membuka lagi ruang pada sesiapa pun untuk masuk. Tapi hal ini mustahil kerana lumrah manusia ialah berhubungan dengan manusia yang lain.
Mungkin yang boleh diharapkan sekarang ini ialah bagi ruang buat diri sendiri sembuh. Entah mungkin pada kebanyakan orang, hal ini sangat remeh untuk diangkat dan dibincangkan. Tapi buat diri yang terasa lesu dengan diri sendiri dan ingin menyelamatkan orang lain daripada kerenah diri ini, ada baiknya kita berehat dan jeda sebentar.
Tidak apa, aku baik sahaja, cuma berikan masa, suatu saat nanti, mungkin aku kan kembali, dengan senyuman terpateri, terekspresi melalui wajah diri.
Salam Maghrib.
Comments
Post a Comment